Monday, January 26, 2009

JADI KETUA PANITIA SAINS...

Awal tahun 1996 saya dilantik jadi Ketua Panitia Sains (KPS) berikutan perpindahan guru kanan Sains iaitu En. Amidy Malagob ke MP Kent, Tuaran. Rancangan pertama yang saya laksanakan sebagai KPS ialah mengaktifkan penerapan KBKK dalam P&P termasuk soalan-soalan peperiksaan.
Cabaran terbesar yang saya hadapi ialah mengaktifkan kerja amali di makmal. Ini kerana ketika itu kami hanya ada seorang pembantu makmal (PM). Makmal-makmal jarang sangat digunakan atas alasan...PM TIDAK AKTIF. Pernah saya melawat semua makmal dan terpaksa menempuh sawang labah-labah di pintunya. Terus saya teringat kisah Nabi di gua Hira. Hehehe...
Bukan senang nak aktifkan PM YANG TIDAK AKTIF itu. Beliau seorang yang panas baran. PK 1 pun pernah berdarah hidung olehnya. Untuk itu, saya terpaksa guna diplomasi dan unsur-unsur persahabatan. Saya "tackle" beliau melalui permainan bola sepak. Bila dah jadi kawan baik, senanglah saya "mengarah" dan "memarahi"...
Syukur....berkat pendekatan yang baik, beliau mulai mengunjungi makmal-makmal dibawah jagaannya. Untuk membantu beliau, saya keluarkan arahan agar semua pelajar yang menggunakan makmal mestilah jaga kebersihan. Guru jangan benarkan pelajar tinggalkan makmal sebelum semua sudah bersih. Saya juga arahkan Persatuan Sains dan Matematik (PSM) melakukan aktviti menceriakan setiap makmal. Hasilnya "lumayan"....setidak-tidaknya, saya tidak lagi menemui sawang labah-labah...
Namun yang paling saya ingat ialah pameran sains di ruang legar makmal. Ini membolehkan semua pelajar mengenali lebih dekat peralatan sains yang jarang-jarang mereka nampak. Ada juga dipamerkan 'Taman Kimia", Herbarium dan sebagainya...
Sayang sekali....sekarang aktiviti itu sudah berhenti.

Sunday, January 25, 2009

GURU KBKK...

Saya merupakan kelompok guru pertama di Sabah yang mempelopori penerapan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK). Krusus pertama di Sabah diadakan di Hotel Perkasa, Kundasang, Ranau pada tahun 1995.

Kemudian saya diarahkan oleh pihak JPN untuk menyebarluaskan KBKK di peringkat daerah Kota Marudu. Ketika itu masih PPD Kota Marudu. Pejabatnya di SK Pekan, Kota Marudu. Di PKG itulah saya panggil guru-guru kanan Sekolah Menengah untuk beri krusus intensif berkaitan KBKK.
Memandangkan KBKK ketika itu (hingga kini) amat dititikberatkan dalam P&P juga peperiksaan, saya mengambil inisiatif ajar pelajar tentang KBKK. Saya pun buat buku kecil tentang KBKK. Saya juga buat kad-kad kecil KBKK untuk pelajar. Papan kenyataan pelajar saya tampal perkara -perkara berkaitan KBKK. Guru-guru pun saya beri taklimat bagaimana menerapkan KBKK merentasi kurikulum dan bagaimana mengubal soalan KBKK.
Asas KBKK sebenarnya simple: kalau soalan ada unsur berfikir maka itu soalan KBKK. Soalan yang ada KBKK sebenarnya lebih mudah dijawab yang penting pelajar tahu elemen-elemen KBKK. Soalan berbentuk hafalan itu bukan KBKK....soalan seperti inilah yang akan melahirkan generasi muda yang tidak tajam mindanya...

Saturday, January 24, 2009

PROJEK TIDAK MASUK AKAL TAPI...

SMK Tandek terkenal dengan jolokan "Sekolah Kontang". Hingga kini pun masih bermasalah air. Pada tahun 1995, saya mencadangkan agar dibina sebuah kolam "rock garden". Pengetua dan staf mula-mula ingat saya bergurau, tapi saya kata kita boleh buat.
Caranya mudah, bina satu kolam secara gotong royong, sumber airnya ambil daripada pancuran hujan dari bangunan sekolah, bangunan pentadbiran dan sekolah. Kalau kolam penuh dengan air, walaupun kemarau selama 1 atau 2 bulan, air masih belum kering, bila hujan turun maka air kolam akan kembali penuh.
Pengetua setuju. Kami guru-guru khususnya dari Tandek pun bergotong royonglah bikin. Sayalah kononnya pekerja merangkap "designer" kerana kebetulan semasa menganggur beberapa bulan (sebelum jadi guru sandaran), saya ikut-ikut kawan saya di KK buat projek "Rock Garden" dan "Landskaping" di sekitar KK khususnya rumah orang-orang kaya.
Hingga kini kolam itu masih kekal dan memang belum pernah kering! Selain mengindahkan pandangan, air kolam ini juga berguna sebagai "kawasan tadahan" dan sumber air untuk menyiram pokok-pokok dan bunga-bungaan sekitar sekolah. Ikan hiasan juga ada tapi....selalu jadi mangsa budak-budak asrama di hujung tahun...biasalah budak-budak...

Friday, January 23, 2009

CIKGU LEFTENAN...

Sekitar tahun 1995/6....aku masih aktif sebagai salah seorang pegawai latih di Rejimen Askar Wataniah, Kompeni C, Kota Marudu. Kadang-kadang bila kena hari Ko-Kurikulum di sekolah, aku pakailah "baju no.3" (baju kerja pejabat) bagi seorang askar (untuk makluman pembaca, dalam askar ada banyak jenis baju, no.1, 2,3,4,5,6,7...). Bukan mau minta puji sebaliknya mahu motivasikan anak-anak bangsa khususnya orang Tandek agar meminati kerjaya sebagai tentera. Ketika itu jugalah saya tubuhkan KADET TENTERA di sekolah. "Silibus" nya saya gubah sendiri mirip mata pelajaran Kadet di Maktab Tentera dan Pasukan Latihan Tentera Darat. Kawad tu biasalah, asas-asas menembak, formasi serangan, formasi pertahanan, kata-kata isyarat, kod perhubungan, dan sebagainya. Budak-budak rasa seronok...
Saya juga seronok dan senang hati apabila dari tahu ke tahun beberapa orang bekas pelajar saya minta rekomen sertai ATM. Ada juga yang "apply" MTD, bahkan ATMA dan PALAPES. Yang paling tinggi pangkat setakat ini ialah Kpt. Evlyn Jusup. Saya masih ingat, bila dia minta rekomen pemilihan ke Akademi Angkatan Tentera Malaysia (ATMA), saya tulis surat separa formal saja. Saya kata : Saya kenal pelajar ini. Beliau ada menyertai KADET TENTERA yang saya tubuhkan di sekolah. Beliau seorang yang berani dan lasak. Keturunan beliau orang gagah dan berani....seharusnya diberi keutamaan. Tahap akademiknya sederhana kerana merupakan pelajar luar bandar..." - Cikgu (Lt) ANDROD SADIAN, T7504455.
Syukur kebanyakan yang saya rekomen terpilih. Hmm...mulai tahun 1996 hingga kini saya tidak lagi aktif. Segala pangkat, pakaian, kasut dan segala-galanya hilang entah ke mana. Watikah tuliah oleh DYMM pun sudah lusuh gara-gara tidak dipedulikan. Segala sijil-sijil kursus dalam ATM pun terbiar begitu sahaja. Saya bukan lagi seorang tentera. Tapi jiwa saya masih. Menembak pun masih boleh kalau terpaksa...

Thursday, January 22, 2009

SMK TANDEK SEKOLAH PERTAMA...

"SMK TANDEK DEKAT DI JIWAKU..."
SMK Tandek mulai beroperasi pada tahun 1998. Ketika itu menumpang di SK Tandek. Masa saya masih bersekolah rendah, tapak Pekan Tandek termasuk SMK Tandek itu sedang rancak ditimbus tanah. Kadang-kadang masa balik dari sekolah (SK Tandek) saya dan kawan-kawan ikut lori ulang alik menimbus tanah. Bila dah puas naik lori baru kami pulang dari sekolah. Sebelum tapak ini dibuka, ia merupakan bekas estate getah milik Inggeris. Bapa saya pernah jadi "kuli" di estet ini. Saya juga pernah menjadikan kawasan estet ini tempat bermain dan mencari biji getah. Biji getah yang keras boleh cari duit. Masa tu (sekarang pun mungkin masih ada) budak-budak suka "beradu biji getah". Siapa pecah dia kalah. Itulah sebabnya getah yang keras laku. Biasanya sebiji 20 sen. Wow! Banyak tu zaman 80-an.
Takdir menentukan aku kembali ke kawasan permainanku. 1995 aku mulai bertugas di sekolah ini. Kali pertama memasuki pintu pagarnya, saya seakan kembali ke zaman kanak-kanak. Estate getah tempat bapaku menjadi kuli, tempatku bermain dan mencari "rezeki" kini berdiri sebuah sekolah menengah yang hingga kini mengeluarkan doktor perubatan, doktor falsafah, jurutera, ahli politik, dan sebagainya....termasuk GURU...
"Dirgahayu SEMEKTA (SMK TANDEK)"

KALAU AKU TIDAK JADI GURU...

"HIKMAH JADI GURU..."
http://yomogun@yahoo.com.my

Dulu, timbul juga rasa "tension" dalam kepala bila jadi guru. Maklumlah, rakan-rakanku yang semasa di zaman persekolahan berada "di bawah" kini ada yang jadi pegawai besar di jabatan-jabatan kerajaan. Mereka bagaikan tidak percaya pelajar No.1 di sekolah dulu hanya jadi guru biasa...Bila jumpa mereka tanya apa kerja. Bila saya cakap "guru", mereka kata saya gurau!

Setelah serasi dengan dunia perguruan, barulah saya dapat memikirkan HIKMAH kenapa saya ditakdirkan jadi guru. Kalau saya memilih profesion ketenteraan (saya sebenarnya ada tauliah Pegawai Tentera Darat dan diberi opsyen menjadi pegawai dalam ATM) sebagai kerjaya, sudah barang tentu saya tidak dapat hidup bersama masyarakat di daerah kelahiran saya. Sudah barang tentu isteri saya sekarang bukan yang ada sekarang (saya ketemu jodoh dengan guru cantik yang mengajar di sekolah yang sama). Pendek kata, saya tidak menjadi sebagaimana saya hari ini.

Akhirnya saya tidak lagi merasa "tertekan" kerana sejak kebelakangan ini, profesion perguruan sudah naik taraf. Berebut pemegang ijazah kelas atas menjadi guru. Gaji guru sangat lumayan. Banyak keistimewaan lain lagi. Sepatutnya dari dulu lagi bah profesion ini diniktaraf supaya orang-orang genius jadi guru barulah pendidikan dapat diangkat bertaraf dunia. Barulah anak-anak murid mendapat pendidikan bertaraf tinggi.

Saya sangat bersyukur, dengan kerjaya guru saya sudah memiliki rumah (banglo) sendiri, kereta separa mewah (Kia Sportage), anak-anak yang sihat dan berakal, dan dapat membantu membangunkan minda dan jati diri bangsaku, yang mana aku hidup bersama mereka di daerah tercintaku - KOTA MARUDU, SABAH...

SYUKUR, ALHAMDULILAH...
"Kepada Generasi Muda: Jangan Malu Jadi Guru. Guru Adalah Kerjaya Mulia dan Lumayan..."

SAINS ITU MUDAH...

Sekarang aku mengajar Fizik (menegah atas dan pra-U/tingkatan 6). Tapi mula-mula dulu semasa guru sandaran (1995-1996), aku hanya mengajar Sains Teras. Sebut saja sains, memang pelajar kampung-kampung akan rasa "gerun". Aku segera menyedari permasalahan ini dan segera mencari jalan mudah dan praktikal untuk mengatasinya...
Aku pun mulai menyuntik minat dan keyakinan bahawa "SAINS ITU MUDAH". Bukan sekadar mengulang-ulang slogan itu tetapi juga memberi contoh betapa sains itu mudah. Misalnya, dalam topik MIKRO organisma, aku ajar murid pakai jari. Lima jari = MIKRO (5 huruf). Kebetulan pula dalam bab ini pun ada lima komponen penting. Misalnya, mikroorganisma ada LIMA jenis: bakteria, kulat, protozoa, virus dan alga. Pertumbuhan mikroorgnisma juga perlu LIMA benda: suhu, kelembapan, nutrien, pH dan keamatan cahaya. Dan seterusnya...
Maka dalam bab ini, saya mengajar dan meneguhkan ingatan pelajar hanya menggunakan "sebelah tangan" (5 jari). Tahu apa kesannya? Dalam sekejap masa, aku berjaya meyakinkan pelajar bahawa : BENDA SUSAH KALAU DIPERMUDAHKAN AKAN JADI MUDAH!
Begitulah antara caranya aku dapat menghilangkan forbia pelajar terhadap subjek Sains. Dan aku seronok bila pelajar yang dulunya tidak bermotivasi terhadap sains kini ceria dan ternanti-nanti ketibaan "CIKGU ANDROD" masuk kelas mereka...

BAGAIMANA AKU MENJADI GURU...

Bukan minta puji. Sejak sekolah rendah sampailah sekolah menengah - No.1 dalam kelas dan N0. 1 seluruh kelas/tingkatan adalah milik tetapku. Maksudku, dengan status pelajar terbaik, kononnya aku bercita-cita ingin jadi seorang doktor perubatan. Guru-guruku pun begitu yakin bahawa aku suatu masa nanti boleh jadi orang besar, tidak menyangka akhirnya aku menjadi seorang guru...kerana ketika itu (era 80-an) profesion perguruan adalah pilihan terakhir para pelajar. Masuk maktab ketika itu pangkat dua bahkan pangkat tiga SPM pun boleh masuk...
Tapi manusia boleh berubah, sama ada diubah oleh nalurinya sendiri atau persekitaran. Itulah yang mengubah jalan hidupku. Aku tidak perlu bercerita panjang tentang "perubahanku" dan "bagaimana" serta "siapa-siapa" yang mengubahku, yang aku ingin ceritakan - "perubahan itulah yang menyebabkan aku tidak dapat memasuki jurusan perubatan di universiti. Aku akhirnya memasuki bidang separa kesihatan separa kemanusiaan.
Dipendekkan cerita, pada tahun 1992/3, aku menjalani penyelidikan/tesis di Unit Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Doktor Udara Yayasan Sabah (sebelum itu, 1992, aku juga berlatih sambil belajar/praktikum di Yayasan Sabah - Unit Pembangunan Sosial, Tingkat 4, kalau tak silap). Aku sudah dijanjikan oleh "orang penting" di YS jawatan pegawai, hanya menunggu surat pelantikan. Malangnya (?), seperti yang sdr/i sedia maklum, tahun 1994 adalah era perubahan pemerintahan negeri Sabah. PBS tumbang, BN (UMNO) naik. Maka segala perjawatan di YS "dibekukan" sementara. Aku dinasihatkan untuk balik kampung dulu, tunggu panggilan. Aku pun balik kampung. Kemudian, aku berhubung dengan arwah Cikgu Makibin B. Bodok (Pengetua SMK Tandek) untuk memohon jawatan guru sandaran. Beberapa minggu menunggu, aku pun dapat surat lantikan daripada Jabatan Pelajaran Sabah, kuat kuasa 1/1/1995 (kalau tak silap).
Maka aku pun bertugas di SMK Tandek sebagai guru Sains. Ketika itu memang sedikit guru graduat orang tempatan. Aku masih ingat, kelas pertama aku masuk dan kebetulan aku ditugaskan menjadi guru kelasnya ialah -4D . Lucu...
Demikianlah alkisah bagaimana aku tiba-tiba memasuki alam keguruan. Boleh dikatakan "terpaksa" tapi aku tidak terpaksa berkerja kerana aku memang minat juga mencurahkan ilmu. Dan kini aku bukan lagi guru biasa...

MUKADIMAH SANGURU...

Sudah lama terfikir untuk mencoretkan kisah-kisah yang kutemui sepanjang lebih sepuluh tahun bertugas sebagai guru dan pentadbir (Hal Ehwal Murid) tetapi tidak kesampaian gara-gara "kekok" berbuat demikian. Saya sebenarnya tergolong dalam kategori manusia yang suka berahsia. Dan tidak suka menceritakan tentang apa yang telah dilakukan apa lagi kalau dilakukan secara sembunyi-sembunyi...
Akan tetapi...bila memikirkan bahawa coretan-coretan itu mungkin boleh membawa kebaikan bukan sahaja kepada kalangan guru tetapi juga khalayak pembaca yang lain maka "ku paksa" diriku mewujudkan laman blog ini. Kemungkinan juga satu masa nanti blog ini juga akan ku buka kepada rakan-rakan guru yang lain menjadi sidang redaksi di dalamnya agar DUNIA KEGURUAN menjadi lebih ceria dan wujud perkongsian ilmu dan pengalaman...